Sedekad Yang Lalu
Pertama kali menjejakkan kaki di Baoh Ulu adalah sedekad yang lalu, di mana perjalanan yang hanya 25 km dari Jalan Sibu-Selangau mengambil masa hampir satu jam dan agak menakutkan. Jalan tanah yang di bina sebelum ini merupakan satu-satunya jalan darat yang menghubungkan kawasan ini dengan dunia luar. Hujan merupakan musuh utama, di mana jalan yang licin dan becak tidak memungkinkan kenderaan menggunakannya. Malah kereta pacuan 4 roda yang saya gunakan tidak dapat melalui kawasan yang dikelilingi oleh pergunungan dan gaung yang merbahaya kepada pemandu yang tidak berpengalaman. Difahamkan, kawasan Baoh Ulu dihuni oleh lebih 10 buah rumah panjang yang rata-ratanya berketurunan Dayak Iban. Seperti kebiasaan masyarakat Dayak, tanah merupakan harta termahal yang mampu mereka miliki dan rata-rata penduduk di sini adalah petani. Sebuah sekolah yang masih dari binaan kayu terletak di penghujung jalan ini dan memberikan pendidikan awal kepada golongan muda.
Dari kem pembalakan ke kem pertanian komersil
Sejarah pendudukan kaum Iban di kawasan ini tidak dapat saya pastikan. Bagai manapun, berdasarkan binaan salah sebuah rumah panjang yang ditemui dianggarkan bahawa pendudukan mereka adalah sebelum Sarawak menyertai Malaysia. Sungai yang terdekat adalah Sungai Baoh Chelum (Hitam) dan Sungai Baoh Burak (Putih), dan kebanyakkan rumah panjang adalah berdekatan dengan sungai-sungai ini. Industri pembalakan sudah lama meninggalkan kawasan ini, dan ini mungkin juga menjadi faktor perpindahan beberapa buah rumah panjang ke kawasan berdekatan dengan jalan raya untuk memudahkan pergerakan mereka.
Dengan kenaikan mendadak harga-harga komoditi getah dan kelapa sawit, penduduk dilihat giat mengusahakan tanaman-tanaman tersebut secara komersil. Berdasarkan saiz tanaman, getah mungkin sudah lama bertapak tetapi tanaman sawit merupakan tanaman yang dilihat mampu memberikan hasil yang lebih lumayan. Tanaman kontan seperti padi huma masih diusahakan, tetapi mungkin tidak secara besar-besaran seperti dahulu.
Selepas Sedekad
Lima tahun kebelakangan ini, Baoh Ulu dilihat menerima "hadiah" mendadak yang menyaksikan pembinaan kemudahan infrastruktur di kawasan ini. Sedia maklum, kemudahan jalan raya, elektrik dan air adalah mimpi indah yang diinginkan oleh penduduk di sini.
Jalan raya yang asalnya adalah jalan balak sepanjang 13 km dari persimpangan dijih-Selangau kini giat dinaiktaraf kepada jalan berturap pada Fasa ke-3 di bawah pakej NKRA yang kosnya dianggarkan tidak kurang dari RM 15 juta. Selain itu juga, pemasangan tiang-tiang elektrik di sepanjang jalan tersebut dilihat permulaan yang jelas tentang komitmen untuk memajukan kawasan ini. Bagai manapun, perancangan untuk penyambungan bekalan air bersih belum lagi menunjukkan tanda-tanda untuk dilaksanakan.
Yang lebih menakjubkan, kedai-kedai menjual peralatan elektrik dilihat mula dibuka di pekan Selangau, iaitu pekan yang terdekat dengan kawasan ini. Ini mungkin disebabkan faktor penyambungan bekalan elektrik dan juga penduduk yang dilihat sudah mempunyai mampumilik disebabkan oleh pengkomersilan pertanian di kawasan ini.
Sekiranya pada masa dahulu, hanya kereta pacuan 4 roda yang boleh digunakan, penduduk di kawasan ini dilihat sudah memiliki pelbagai jenis kenderaan. Pembinaan secara berperingkat untuk jalan-jalan masuk ke rumah-rumah panjang dilihat sebagai penyumbang utama kepada pertambahan ini. Sekiranya ini berlaku di seluruh negeri, setiap rumah dilihat akan memiliki sekurang-kurangnya sebuah kereta. Berdasarkan statistik pengangkutan penduduk luar bandar yang masih bergantung sepenuhnya kepada sungai, setiap pintu rumah sebenarnya memiliki sekurang-kurangnya sebuah perahu di mana kos penyelengaraannya adalah lebih mahal. Ini mungkin menjawab kepada persoalan bahawa kenderaan darat di Sarawak adalah kurang dari keseluruhan jumlah kenderaan per penduduk di seluruh negara.
Masih banyak yang diperlukan
Dari riak wajah penduduk yang ditemui, rata-rata tersenyum dan berharap agar pembangunan berterusan akan sampai kepada golongan sasaran. Selain pembangunan infrastruktur yang menjadi nadi kepada pembangunan di kawasan ini, program-program lain juga diterima oleh penduduk setempat. Contohnya adalah bantuan kemiskinan e-kasih dan bimbingan pertanian. Sesuai dengan angin perubahan yang melanda Mukah setelah diisytiharkan sebagai Bahagian pada tahun 2002, kawasan Baoh Ulu dilihat turut menerima faedah dan manfaat daripadanya.
Pembaikan dan naiktaraf jalan raya masih yang berterusan diperlukan terutamanya jalan raya utama yang akan menghubungkan kawasan ini dengan Jalan Sibu-Bintulu. Selain itu, pembinaan jalan-jalan masuk ke rumah-rumah panjang juga sangat-sangat diperlukan agar menjamin semua lapisan masyarakat di Sarawak dapat menikmati pembangunan yang menyeluruh. Pembinaan jalan raya dilihat akan membuka ruang pembinaan kepada infrastruktur-infrastruktur lain seperti bekalan air. Jaringan jalan raya yang baik juga dilihat sebagai jalan penyelesaian terbaik mengeluarkan mereka dari ruang kemiskinan dengan kemajuan pertanian dan pengangkutan hasil pertanian yang lebih baik. Di fahamkan jaringan-jaringan jalan raya yang akan menghubungkan kawasan Baoh Ulu ke Mukah sedang giat dirancang dan diharap akan dilaksanakan secepat mungkin.
Sekolah merupakan jalan terbaik untuk mengeluarkan penduduk dari kancah kemiskinan. Berbanding dengan sekolah-sekolah di bandar, sekolah-sekolah di luar bandar Sarawak dilihat sangat daif dan diragui jika mampu mendidik anak-anak di luar bandar seperti rakan-rakan mereka di bandar. Sesuai dengan peredaran zaman, sekolah dari binaan kayu dilihat tidak lagi sesuai digunakan. Ini berdasarkan kejadian kebakaran yang pernah menimpa asrama di SK Iban Union pada tahun 2002 yang mengorbankan nyawa. Tidak dinafikan bahawa terdapat anak-anak Baoh Ulu yang telah berjaya dalam akademik. Cuba kita bayangkan, sekiranya mereka diberikan kemudahan persekolahan yang lebih baik, mungkinkah kita akan menghasilkan lebih ramai cendekiawan?
Pembangunan Luar Bandar Tiada Penghujung
Buat masa ini, Gold Arawana percaya bahawa pembangunan berterusan telah dirancang untuk semua kawasan luar bandar. Di Baoh Ulu, perubahan amat ketara disaksikan sendiri oleh Gold Arawana selama sedekad mengenalinya. Bagai manapun, angin perubahan tidak akan berjaya dengan sendirinya tanpa usaha sama dari penduduk setempat. Bagi penduduk di luar bandar, tanah yang terbentang luas adalah pintu kepada keluar dari ruang kemiskinan. Dengan bantuan kerajaan yang memerintah, pemodenan pertanian dan galakan persekolahan adalah satu-satunya cara untuk keluar dari kepompong kemiskinan. Gold Arawana masih teringat dengat ucapan Yang Berhormat Datuk Hajah Fatimah Abdullah yang juga ADUN bagi Dalat termasuk kawasan Baoh Ulu di salah sebuah rumah panjang, "Berikan mereka kail, jangan beri mereka ikan. Agar mereka nanti mampu berdikari sendiri." Beliau merujuk kepada pendidikan anak-anak. Semoga angin perubahan Mukah akan sentiasa dirasai di Baoh Ulu. Tahniah kepada penduduk-penduduk di Baoh Ulu dan agensi-agensi kerajaan/swasta yang terlibat.
1 comment:
saya ingin berbagi dengan Anda semua tentang bagaimana saya mendapatkan pinjaman saya dari perusahaan pinjaman yang sangat baik dan jujur yang terdaftar di Amerika Serikat, karena saya melamar sebagai pinjaman awal, saya butuh beberapa dokumen untuk memenuhi persyaratan mereka tetapi insya Allah saya berhasil dan bekerja dengan lancar sebagai pengusaha. hubungi whatsapp: +18632310632 / pedroloanss@gmail.com untuk semua jenis bantuan keuangan seperti pinjaman dan fasilitas investasi.
Post a Comment