Monday, July 4, 2011

Mukah - Destinasi Pelancongan Bagi Kaki Pancing..


Pengalaman Pertama Memancing di laut dalam merupakan pengalaman yang baru bagi Gold Arawana. Bagai manapun, bagi mereka yang memang meminati aktiviti lasak ini, memancing di perairan laut dalam Mukah adalah suatu pengalaman yang sukar untuk dilepaskan. Pengalaman pertama memancing di laut dalam memang sedikit menakutkan. Apalagi di kelilingi oleh laut yang seolah-olah tiada penghujungnya. Apabila tiba waktu malam pula, tiada apa yang kelihatan kecuali sekiranya ada bulan dan bintang di langit. Ketika inilah, biasanya rasa-rasa mual akan menyerang. Bagi yang berpengalaman, ubat bukanlah satu kemestian, tetapi bagi Gold Arawana, pengalaman memancing tidak akan dapat dinikmati sekiranya diserang "mabuk percuma" yang disumbangkan oleh laut yang bergelora.

Industri Memancing di MukahMukah, sebuah bandar pesisir yang asalnya merupakan perkampungan nelayan dari suku kaum Melanau memang terkenal sekian lamanya sebagai pengeluar produk makanan laut. Ini terbukti dengan kehadiran pengunjung dari Sibu dan Sarikei yang membeli ikan dan hasil-hasil laut terutamanya pada hujung minggu.


Perahu yang disewakan biasanya dari Gred "A" iaitu yang hanya dibenarkan untuk beroperasi sejauh 30 Batu Nautika (Gold Arawana) kurang pasti dengan polisi ini. Bagai manapun, perahu buatan dari kayu tropika ini biasanya mampu membawa lebih dari 10 orang pemancing. Sewa yang dikenakan adalah sebanyak RM1,800.00 untuk memancing selama satu hari/satu malam. Ini tidak termasuk umpan dan makanan.



Gold Arawana difahamkan, masa yang paling sesuai adalah dari bulan April hingga Oktober iaitu selepas Pesta Kaul dijalankan yang merupakan perayaan tahunan oleh kaum Melanau.



Potensi Pelancongan


Potensi yang ditawarkan adalah sangat lumayan. Itulah gambaran awal yang dapat Gold Arawana gambarkan di sini. Tempahan biasanya perlu dibuat seminggu atau kadang-kadang jauh lebih awal kerana pemancing-pemancing bukan sahaja dari kawasan terdekat, malah terdapat kaki pancing sejauh Kuching, Miri dan juga rakan-rakan dari Semenanjung Malaysia. Hari minggu dan cuti umum adalah kemuncak bagi aktiviti memancing di Mukah.



Oleh yang demikian, aktiviti memancing di Mukah dilihat dan terbukti mampu menarik ramai pengunjung ke Mukah di samping menambahkan pendapatan nelayan-nelayan di sini.



Spesis ikan


Gold Arawana kurang pasti dengan spesis-spesis yang boleh didapati. Tetapi, ikan merah dan kerapu adalah antara ikan-ikan yang biasa diperolehi. Terdapat juga spesis lain yang Gold Arawana tidak kenali, tetapi menurut kaki-kaki pancing spesis "ikan mahal" sememangnya tidak akan mengecewakan pemancing. Tidak hairanlah, setiap kaki pancing yang pernah memancing di Mukah akan cuba sedaya upaya untuk datang kembali ke Mukah.



Pengalaman Yang Tidak Akan Dilupakan



Gold Arawana berkesempatan bertanyakan kepada kawan-kawan kaki pancing, adakah berbaloi untuk mengikuti aktiviti ini. Ya... sekiranya dikira dengan RM yang dikeluarkan dan keletihan yang penat lelah diperolehi, memang tidak berbaloi. Tetapi, jika dikira dengan pengalaman yang diperolehi, RM bukanlah ukuran...



Jadi, kepada kaki-kaki pancing, jangan dilepaskan peluang ini.. Welcome to Mukah....



NOTA TAMBAHAN: MUKAH DIHUBUNGI DENGAN PENGANGKUTAN UDARA DARI KUCHING & MIRI, DAN PERJALANAN DARAT DARI KUCHING MENGAMBIL MASA DALAM 8 JAM PERJALANAN.