Tidak dapat dipastikan bila jambatan ini disiapkan, atau lebih sesuai dikatakan dinaiktaraf dari jambatan sementara kepada jambatan konkrit. Jambatan itu tidahlah besar kerana hanya menyeberangi sungai kecil yang bisa diseberangi dengan berjalan kaki sahaja. Bagai manapun, dengan kemajuan yang ada, hampir semua penduduk memiliki kenderaan sendiri, jambatan adalah yang paling sesuai. Terima kasih kerajaan di atas keprihatinan anda!
Asalnya adalah jambatan kayu atau balak, merupakan satu-satunya jambatan di sepanjang Jalan ke Kampung Pueh yang menghubungkan beberapa buah kampung ke pekan terdekat. Paling menarik adalah jambatan ini menandakan bahawa anda berada di kampung saya, Kampung Siru Dayak!
Sebelum ini, jambatan ini tidaklah sepopular sekarang kerana sungai itu sendiri adalah lebih penting berbanding dengan jambatan itu sendiri. Terlalu banyak nama, orang Salako memangilnya Batangan Siruk (Sg Siruk) dan ada yang menggelarnya Sg Takorok. Yang menghairankan dan menariknya adalah, nama baru yang dipaparkan pada papan tanda tersebut iaitu Sg. Tengkorak. Ini memberikan jambatan ini nama yang popular terutamanya di kalangan generasi muda. Saya tak pasti kenapa!
Sebagai orang muda, yang kurang mengetahui sejarah dan asal-usul sungai berkenaan, saya tidak pastilah sama ada itulah nama sebenar Sungai tersebut. Yang pasti adalah menarik untuk mengetahui nama di sebalik jambatan tersebut, sama ada ianya betul atau kesilapan mencetak pada papan tanda perlu diperbetulkan agar tidak menghilangkan identiti sungai tersebut. Bagi penduduk kampung, sungai tersebut sangat penting untuk pengairan yang mengairi tanaman dan dusun mereka, selain beberapa adat istiadat kaum Salako seperti "bersunat" dan sebagainya. Semasa kecil, itulah satu-satunya sungai yang saya kenali, tempat mandi-manda kerana airnya yang jernih dan menyegarkan.
Sekiranya nama Sg Tengkorak adalah betul, menarik untuk mengetahui cerita di sebalik nama tersebut. Sekiranya tersalah letak, adalah juga menarik kiranya nama sebenar diletakkan pada sungai tersebut. Saya tidak tertarik untuk menuding jari ke atas kesilapan sesiapa, tetapi saya tertarik untuk memperbetulkan keadaan dan mengetahui nama yang sebenar.
Tengkorak (skull)? Nama yang terlalu lucu tetapi semestinya mempunyai cerita menarik di sebalik nama tersebut yang perlu diceritakan!